Biodata

DR ZALIHA MUSTAFA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
Dr. Zaliha binti Mustafa telah mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan Malaysia pada 3 Disember 2022. Kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menjadikannya Ahli Parlimen bagi kawasan Sekijang, Johor Bahru. Dilahirkan pada 28 Jun 1964 di Johor, Dr. Zaliha bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi, tetapi juga sebagai seorang ibu yang penyayang.
Beliau isteri kepada Dr. Ahmad Adzlan dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Bagi beliau, keluarga merupakan tunjang kekuatan Dr. Zaliha, dan ini dicerminkan dalam cara beliau mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia. Sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau memegang jawatan penting sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, sebahagian daripada komitmennya terhadap keadilan dan kesejahteraan masyarakat. Program Nur Ramadan yang dianjurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan yang menyantuni seramai 5,500 penerima sumbangan dari ketiga-tiga Wilayah Persekutuan memberi imej kepada beliau sebagai ibu kepada warga masyarakat.
PROFIL
- Dilahirkan pada 28 Jun 1964 di Johor.
- Berkahwin dengan Dr Ahmad Adzlan dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu dua anak lelaki dan dua anak perempuan.
- Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan parti komponen gabungan Pakatan Harapan dan kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti.

PENDIDIKAN
Kejayaan Dr. Zaliha bermula dari pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Sultan Ibrahim (G) School (SIGS), Johor Bahru. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu dan MRSM Seremban untuk matrikulasi. Pada tahun 1989, beliau berjaya memperoleh Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Ijazah Doktor Perubatan | 1989 Universiti Kebangsaan Malaysia
- Matrikulasi | 1981 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Seremban
- Sekolah Menengah Sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu
- Sekolah Rendah Sultan Ibrahim (G) School (SIGS) Johor Bahru.

PENGALAMAN
Dr. Zaliha mempunyai latar belakang yang kukuh dalam bidang perubatan dan politik menerusi perkhidmatan beliau sebagai Setiausaha Politik kepada YB Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Selain itu, pengalaman luasnya sebagai Pegawai Perubatan di Klinik Murni, Kulai Johor; Kumpulan Penjagaan Kesihatan Penawar; Hospital Daerah Taiping & Pekan; dan sebagai Doktor Siswazah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, memperlihatkan dedikasinya terhadap penjagaan kesihatan rakyat.
- Setiausaha Politik kepada YB Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
- Pegawai Perubatan Klinik Murni, Kulai Johor.
- Pegawai Perubatan dalam Kumpulan Penjagaan Kesihatan Penawar.
- Pegawai Perubatan di Hospital Daerah Taiping & Pekan.
- Doktor Siswazah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jawatan Disandang
Dr. Zaliha juga memegang jawatan penting dalam lembaga berprestij di mana beliau memikul jawatan sebagai Pengerusi bersama Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia, Pengerusi Penyelidikan Klinikal Malaysia, dan Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO, mewakili Wilayah Pasifik Barat (WPP) untuk tahun 2022-2023.
- Pengerusi bersama, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia
- Pengerusi Penyelidikan Klinikal Malaysia
- Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO, mewakili Wilayah Pasifik Barat (WPP) untuk 2022-2023

Keanggotaan NGO
Komitmen Dr. Zaliha terhadap masyarakat terbukti melalui penglibatan beliau dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Beliau aktif dalam Jamaah Islah Malaysia (JIM), Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM), Malaysian Medical Relief Association (MERCY), Women Empowerment Initiative (WE), ENGAGE (Southern Region), dan Yayasan Kanser Tengku Laksamana Johor. Penyertaannya dalam organisasi-organisasi ini menunjukkan kesungguhan beliau untuk memperjuangkan kesejahteraan dan keadilan sosial.
- Jamaah Islah Malaysia (JIM)
- Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM)
- Malaysian Medical Relief Association (MERCY)
- Women Empowerment Initiative (WE)
- ENGAGE (Southern Region)
- Yayasan Kanser Tengku Laksamana Johor